Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, February 22, 2011

Umrah Tarbawi Musim ke-5 anjuran DMPP


TARIKH : 7 HINGGA 20 APRIL 2011 (13 HARI)


  • Terbuka kepada lelaki dan wanita
  • Program-program tazkirah & bimbingan diaturkan
  • Kursus Umrah disediakan
  • Bayaran RM4,900 SAHAJA
  • Penerbangan MAS
  • Sila hubungi Puan Khadijah : 019-348 3067 / 013-341 9193
  • Bayaran Pendahuluan RM2,500 mestilah dimasukkan ke akaun MAYBANK 5640 2540 0711 atas nama ”DMPP” sebaik bersetuju
  • Sila tuliskan nama dan nombor telefon di slip bank dan fakskan ke 03-2692 8880 sebagai bukti pembayaran

TARIKH TUTUP PENYERTAAN : 15 MAC 2011


Read More......

Wednesday, February 16, 2011

PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W MEMBAWA MISI PERUBAHAN

Saban tahun umat Islam di Malaysia khususnya tidak pernah lupa untuk menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar Rasulullah s.a.w. Berbagai majlis sambutan diadakan di masjid-masjid dan surau-surau serta pada kebiasaannya diadakan juga upacara rasmi perarakan maulidur rasul.


Sebenarnya kita tidaklah semata-mata hanya memperingati dan merayakan kedatangan Rabiul Awal bulan kelahiran baginda. Tapi apa yang lebih penting di dalam kegairahan kita bersama-sama menyambut hari kelahiran baginda ialah iktibar dari misi perjuangannya dalam membawa manusia berhijrah dari kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan taqwa kepada Allah s.w.t.


Misi perubahan yang menjadi intipati perjuangan baginda adalah untuk menegakkan Islam. Islam yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t sesuai dengan peranan baginda sebagai Rasul - “pesuruh Allah” sepertimana yang ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya pada surah Ali Imraan: ayat 144 yang bermaksud:


“ Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir) ?....”


Di dalam kesempatan kita menyambut maulidur rasul ini seringkali kita terlupa atau tidak memberikan fokus terhadap misi perjuangan baginda. Misi perubahan yang unggul di dalam sejarah kemanusiaan membawa Islam sebagai ad-Deen - “a way of life” selari dengan sifatnya yang universal merentasi semua kaum dan warna kulit iaitu Islam untuk semua – “ Islam for all. Kesejagatan keadilan Islam ini terserlah jika kita menghayati dan menyelusuri sirah perjuangan baginda.


Disamping itu kita selalu mendengar puji-pujian dan laungan para peserta perarakan malidur rasul bahawa baginda adalah sebagai contoh teladan unggul bertepatan dengan firman Allah s.w.t di dalam al-Quran pada surah al-Ahzaab: ayat 21 yang bermaksud:


“ Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (kerdhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang).”


Adalah penting terutamanya kepada pendokong dan daie gerakan Islam mengambil iktibar dari peristiwa misi awal baginda pergi berdakwah ke Taif. Sambutan yang baginda terima daripada penduduk Taif sangat mengecewakan. Bukan saja mereka tidak ambil peduli ajakan baginda untuk membuat perubahan malah baginda dihujani dengan batu-batu hingga menyebabkan baginda luka berdarah. Melihatkan keadaan baginda yang terluka itu malaikat meminta baginda agar mengizinkannya untuk membalikkan batu-batu besar agar menghempap mereka semua ke dalam bumi.


Tapi apakah yang diminta oleh baginda ketika bermunajat kepada Allah? Baginda memohon Allah memberikan hidayah kepada mereka kerana mereka masih jahil. Sikap unggul penuh kesabaran dan ketabahan serta pemaaf ini perlu kita contohi dalam misi untuk membawa perubahan.


Baginda sesekali tidak menaruh dendam malah berlapang dada menerima kejahilan mereka dan bersimpati memohon Allah memberikan hidayah petunjuk kepada mereka. Seharusnya inilah salah satu contoh teladan yang patut kita ikuti di dalam komitmen kita berjemaah baik sesama anggota jemaah mahupun kepada sasaran dakwah kita.


Sesungguhnya kalau kita bersikap membalas dendam dan tidak mengambil contoh teladan daripada Rasulullah itu, pada hakikatnya kita samalah jahil dengan mereka yang memusuhi kita. Malah misi perubahan yang kita ingin jayakan tidak akan tercapai.


Seharusnya dari penolakan yang kita terima itu kita hendaklah bermuhasabah mencari pendekatan yang lebih baik untuk memenangi hati mereka. Ingatlah sebuah hadis baginda Rasulullah yang bermaksud bahawa semua amalan itu bermula dengan niat di hati. Jika niat di hati kita penuh dengan dendam kesumat natijah yang akan kita dapat akhirnya akan memusnah kita. Tapi jika niat kita ikhlas kerana Allah maka hasil yang akan kita perolehi kelak, insya Allah akan membahagiakan kita dan semua yang berkenaan.


Oleh itu marilah kita bersama-sama beriltizam membawa misi perubahan ke arah sebuah masyarakat yang adil dan berkebajikan untuk semua dengan mengambil contoh teladan dari Rasulullah s.a.w. Marilah kita jayakan moto Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua – “ Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia”.


Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
15 Februari 2011.

Read More......

Monday, February 14, 2011

IKTIBAR : MUNAJAT SEORANG IBU TUNGGAL MENJADI OBOR KEPADA REVOLUSI RAKYAT MESIR

Tahun 2011 membuka lembaran sejarah dengan kita menyaksikan tumbangnya dua Presiden di dua buah Negara Arab selang beberapa minggu oleh bantahan jalanan rakyatnya. Jumaat 28 Januari Zein al Abidin Ali, Presiden Tunisia meninggalkan takhta dan negaranya menuju ke Arab Saudi, 18 hari kemudiannya pada Jumaat 11 Februari giliran Presiden Hosni Mubarak dari Mesir turun takhta dan meninggalkan istananya.


Kedua-dua diktator ini berkuasa begitu lama secara kuku besi dengan menindas rakyat dan menzalimi penentang-penetangnya. Mereka menutup ruang demokrasi walaupun mengadakan pilihan raya yang setiap kali akan dimenangi mereka dengan majoriti besar. Mereka menguasai media dan memerintah dengan pengisytirahan undang-undang darurat.


Mereka menangkap penentang-penentangnya, menyiksa dan memenjarakan mereka tanpa bicara. Walaupun begitu mereka mendapat sokongan kuat kuasa-kuasa besar barat yang seringkali melaung-laungkan demokrasi dan hak asasi manusia.


Kedua-dua senario ini menggambarkan kepada kita suatu bentuk kezaliman yang telah dilakukan di atas premis demokrasi. Satu contoh manipulasi politik pragmatis dimana matlamat itu menghalalkan cara tanpa mengambil kira halal atau haram.


Akhirnya tumbang juga di atas bantahan jalanan rakyat. Benarlah penegasan Allah s.w.t di dalam al-Quran yang sering kita baca sebagai wirid selepas solat fardhu iaitu pada surah Ali Imran: ayat 26 yang bermaksud;


“ Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Allah yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki……”


Juga benarlah janji Allah s.w.t bahawa doa orang-orang yang dizalimi akan diterima dan dimakbulkanNya, hanya Dialah yang menentukan bila hari pembalasannya.


Tanpa ragu-ragu kita sedar bahawa senario yang hampir sama seolah-olah sedang berlaku di negara kita. Di atas slogan “rakyat didahulukan” tanpa segan silu kerajaan UMNO-BN yang telah berkuasa lebih 50 tahun akan mendahulukan rakyat dengan kenaikan cukai, kenaikan harga petrol dan memotong subsidi untuk menghadapi kemelut ekonomi. Semua ruang bantahan rakyat akan cuba ditutup rapat.


Kembali kita pada senario di pinggir Kahirah pada pagi Jumaat 11 Februari di rumah seorang ibu tunggal bernama Laila. Anak lelakinya Khaled Said telah syahid pada hari pertama revolusi rakyat itu. Ketika itu Khaled sedang berada di cyber café dengan facebooknya berinteraksi dengan teman-teman seperjuangannya. Tiba-tiba saja 2 orang polis tidak beruniform menangkap, menggari dan menghiritnya keluar serta memukul sehingga mati di saksi oleh semua pengunjung cyber café tersebut. Peristiwa ini tersibar luas di Youtube, di internet.


Kita patut mengambil iktibar dari peristiwa ini. Dimana ketabahan seorang muslimat menjadi obor yang menyuntik semangat perjuangan menentang kezaliman. Bagaimana seorang ibu ini berdoa dengan lilihan airmata, penuh ikhlas bermunajat memohon pertolongan dari Allah. Tapi pemerintah zalim Mesir memadamkan kisah ini di internet dan seterusnya menutup terus seluruh rangkaian maya di Mesir.


Iktibar yang patut para muslimat semua khusus muslimat PAS ambil adalah perjuangan menentang kezaliman bukan suatu bentuk kerja sambilan. Ia memerlukan sepenuh komitmen dan pengorbanan. Sesungguhnya dalam mengharungi perjuangan ini jangan lupa kita bermunajat dan memohon pertolongan dari Allah s.w.t Itulah kunci yang dapat memastikan kita istiqamah dalam menghadapi segala rintangan dan kepayahan.



Nuridah Mohd Salleh

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

13 Februari 2011.

Read More......

Saturday, February 12, 2011

CUKUPKAH SEKADAR KHUTBAH JUMAAT DAN LARANGAN MERAYAKAN
“HARI KEKASIH” UNTUK MEMBENDUNG GEJALA MUNGKAR ?

Keluh kesah dari kemelut isu sambutan “hari kekasih” – velantine day kini sebenarnya tidak habis-habis diperkatakan oleh pencinta peradaban akhlak Islamiyah serta masyarakat bertamadun dan berbudi luhur saban tahun, terutamanya bila hampir tiba 14hb Februari.

Sebenarnya seluruh masyarakat dapat melihat sendiri semua program dan aktiviti pengisian dalam menyambut hari tersebut tanpa diragui terungkap dalam prasa-prasa berikut; “gaya hidup tidak sihat”;”kegiatan tidak bermoral”;”budaya bercanggah dengan akhlak Islamiyah”;”acara-acara mengundang dosa”;”pesta-pesta maksiat”;”karnival minum arak dan seks bebas”; dan pada tahun lepas popular dengan “hari remaja wanita tidak digalakkan memakai seluar dalam – pantiless”; serta pelbagai tindakan berseronok menurut nafsu serakah yang tidak dapat diterima oleh masyarakat bertamadun yang mengutamakan peradaban, ketinggian moral dan akhlak mulia serta berbudi luhur.

Sepatutnya sudah mencukupi saranan Allah s.w.t pada surah an-Nur: ayat 21, bagi umat Islam yang benar-benar memahami dan menghayati firmanNya itu yang bernaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu turut langkah-langkah Syaitan. Sesiapa yang menurut langkah-langkah Syaitan itu, maka sesungguhnya ia menyuruh berbuat keji dan mungkar.”

Oleh itu timbullah pelbagai gesaan demi gesaan, ingatan demi ingatan dari kalangan NGO-NGO yang prihatin dan pelbagai pihak yang cintakan Islam yang sudah merasakan sebu dan berdosa di atas perilaku sebahagian umat Islam terutamanya dikalangan remaja yang menyambut pesta tersebut. Rentetan dari itu keluarlah fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan pada November 2005 yang memutuskan bahawa adalah “haram” bagi umat Islam menyambut pesta berkenaan. Malah orang awam juga dibenarkan melaksanakan kawalan pencegahan maksiat seperti membuat “tangkapan awam – people arrest” dengan syarat-syarat tertentu mengikut Akta Tatacara Jenayah (Mahkamah Syariah) di Wilayah Persekutuan dan anekmen Jenayah Syariah di negeri-negeri seluruh negara.

Jelaslah pada kita sudah ada instrumen pencegahan ataupun setidak-tidaknya ada fatwa pengharaman sambutan hari tersebut. Persoalannya sejauh manakah perlaksanaannya? Cukupkah dengan JAKIM dan JAIS mewajibkan semua masjid di seluruh negara membaca khutbah mengenai pengharaman sambutan hari tersebut? Malah tindakan pencegahan maksiat mengikut undang-undang yang telah dijalankan oleh bekas Mufti Selangor, Almarhum Dato’ Ishak Baharom dulu pernah dihalang dan dikekang.

Siapakah sepatutnya yang bertanggungjawab untuk melakukan tugas nahi mungkar ini? Banyak saranan dari pimpinan negara dari kalangan parti pemerintah membebankan masalah ini kepada ibu bapa yang gagal mendidik akhlak anak-anak mereka. Serta tambah pula gesaan agar
isu ini tidak diperbesar-besarkan kerana ditakuti akan menjejaskan industri pelancongan serta menggagalkan perkembangan ekonomi negara.

Bagi PAS amanah untuk melaksanakan tugas nahi mungkar ini mestilah diterajui dengan penuh tanggungjawab oleh mereka yang memegang tampuk pemerintahan selain dari menjadi tanggungjawab semua pihak. Jelasnya UMNO telah gagal melunaskan tanggung jawab ini. UMNO tidak berminat untuk menyelesaikan masalah kronik ini secara serius serta mengikuti lunas-lunas Islam. Bagi mereka isu-isu ekonomi lebih utama ditangani daripada isu-isu moral. Sikap ini telah membuat mereka tidak jijik dengan jenayah rasuah dan penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
12 Februari 2011.

Read More......